Headlines
Published On:Friday, 31 August 2012
Posted by ADMIN

Beli Panadol, Bukan Bawak Balik Perempuan!


MUSLIM (kanan) dan Ismail didakwa melanggar disiplin oleh jurulatih Terengganu, Peter Butler.



BELI panadol, bukan bawa balik wanita ke hotel. Demikian penjelasan Muslim Ahmad yang sebelum ini digugurkan daripada skuad utama Terengganu bersama rakan sepasukan, Ismail Faruqi gara-gara didakwa melanggar disiplin oleh jurulatih, Peter James Butler.

Selain dituduh pulang lewat, mereka juga didakwa membawa wanita balik ke hotel oleh Butler selepas perlawanan menentang Kedah pada aksi Kumpulan B kempen Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Selasa lalu.

Muslim menjelaskan, dia bukannya membawa balik wanita ke bilik penginapan, sebaliknya hanya pulang lewat pada hari kejadian kerana membeli makanan dan panadol untuk Ismail yang demam.

“Kita orang tak buat (bawa balik mana-mana wanita ke hotel) sebab kita orang ada bukti. Kita orang pun tak tahu macam mana laporan itu dibuat (Butler) dan dia pun tak buat laporan kepada persatuan (PBSNT).

“Memang saya (akui) keluar lewat. Tapi saya keluar beli makanan dan panadol untuk Ismail sebab dia demam,” dakwa Muslim kepada Kosmo!.

Kosmo! semalam melaporkan nasib malang Muslim dan Ismail yang digugurkan dari skuad utama Terengganu selepas mereka didakwa pulang lewat ke bilik penginapan sekitar pukul 3 pagi, selain didakwa membawa pulang wanita ke bilik hotel oleh Butler.

Dalam pada itu, Ismail turut menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Butler dan telah menyerahkan perkara itu kepada pihak atasan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bagi menilai situasi sebenar.

“Dakwaan itu (membawa wanita ke hotel) sangat tidak berasas, jadi saya dan Muslim telah menyerahkan kes ini kepada pihak atasan untuk menilai situasi ini.

“Tuduhan berat itu telah memberikan kesan buruk kepada imej kami, keluarga, pasukan dan pihak pengurusan PBSNT.

“Justeru, kami menuntut permohonan maaf secara terbuka (daripada Butler) untuk membersihkan nama baik kami di atas kesalahan yang kami langsung tidak buat,” katanya.

Enggan mengulas lanjut, Ismail juga berharap insiden ini memberikan pengajaran kepadanya supaya lebih berhati-hati bagi menjamin kariernya sebagai pemain bola sepak.

Dalam pada itu, Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh mengesahkan kedua-dua pemain itu bakal beraksi menentang Kedah di Stadium Ismail Nasiruddin Shah malam ini jika bebas daripada kecederaan.

“Siasatan terhadap dakwaan Butler mengenai dua pemain itu hanya akan dilakukan selepas kempen Piala Malaysia berakhir. Apa yang penting ketika ini tumpuan untuk perlawanan menentang Kedah (malam ini) sebelum menentang Kelantan dan ATM,” tegasnya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menasihatkan PBSNT supaya tidak berkompromi dengan mana-mana pemain yang mempunyai masalah disiplin walaupun pemain itu berstatus bintang.

“Kita tak mahu pemain yang tidak berdisiplin. Tidak mengapa kalau kehilangan mereka pun (Muslim dan Ismail Faruqi), kita tidak boleh menjadikan bintang itu sebagai pasport untuk tunjukkan contoh yang tidak baik,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Terengganu di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu semalam.





About the Author

Posted by ADMIN on 19:03. Filed under . Terima kasih sudi berkunjung ke blog ini mediasantai.com. Jemput LIKE fan page kami ya

By ADMIN on 19:03. Filed under . Like Fan page facebook mediasantai.com. Jom follow cerita terbaru!

0 comments for "Beli Panadol, Bukan Bawak Balik Perempuan!"

Leave a reply

Jemput like

Powered by Blogger.

Klik Jap